Berita Harian |

Pertumbuhan dan penggunaan teknologi yang kian maju seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (Industrial Revolution 4.0) banyak merubah gaya hidup serta cara masyarakat menjalani kehidupan harian, bekerja dan beriadah.

Media cetak, radio dan televisyen satu ketika dulu menjadi sumber utama informasi, kini media sosial seperti WhatsApp, Telegram, YouTube dan TikTok menjadi medium utama penyebaran maklumat.

Bukan saja ia lebih menarik dengan format audio-video pelbagai ragam, penyebarannya juga lebih pantas dan meluas ke seluruh masyarakat, warga bandar atau desa, yang tua dan muda.

Kemajuan teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, pembelajaran mesin, realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan ‘blockchain’ serta kepantasan tinggi komunikasi jalur lebar yang membolehkan perjumpaan maya serta persidangan video, menjana perkembangan aplikasi bagi pelbagai jenis kemudahan dan tujuan.