Oleh Dr Sulaiman Saheh
Musim pilihan raya telah tiba dan perbincangan sering didengar mengenai cara untuk memperkasakan negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat. Tidak dapat diketepikan adalah isu pemilikan dan kemampuan untuk memiliki sebuah rumah khususnya bagi golongan M40 dan B40.
Sehingga kini, cabaran untuk mengatasi masalah mendemokrasikan akses kepada perumahan mampu milik kepada rakyat masih belum dapat diatasi sepenuhnya. Tidak kira siapa yang menerajui Putrajaya selepas ini, fokus yang diberikan kepada sektor hartanah, khususnya perumahan, pastinya akan diteruskan. Cuma diharap perubahan kepada strategi, pelaksanaan dasar dan pemantauan yang lebih cekap dan berkesan dapat dilakukan.
Daripada pemerhatian manifesto yang dikeluarkan oleh tiga gabungan parti politik terbesar, rata-rata kesemuanya telah menjanjikan hasrat untuk menangani isu perumahan khususnya bagi golongan B40 dan M40.