Berita Harian |

Oleh Sulaiman Saheh

Pada isu sebelum ini, kebolehlaksanaan dan ketelusan manifesto yang diumumkan semasa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU) yang lalu sudah dibincangkan. Kini, setelah tertubuhnya kerajaan yang baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, kerajaan diharap akan mengkaji dan menambahbaik dasar dan strategi sedia ada untuk melaksanakan sistem penyampaian rumah mampu milik (RMM) yang lebih efektif dan selari dengan permintaan pasaran.

Pada tahun-tahun yang terdahulu, pertindihan peranan pelbagai agensi kerajaan yang berbeza dalam penyediaan rumah mampu milik telah dikenalpasti untuk diselaraskan di bawah satu badan pusat.

Berperanan sebagai badan pusat itu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) ditubuhkan pada November 2018 untuk menyelaras perancangan, penyelarasan dan pemantauan rumah mampu milik di seluruh negara dengan kerjasama pihak kerajaan negeri serta agensi-agensi pelaksana.