BH |

Pada suku keempat 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 7.0 peratus tahun ke tahun selepas prestasi dua angka suku sebelumnya pada 14.2 peratus.

Ini meletakkan prestasi keseluruhan KDNK 2022 pada 8.7 peratus, jauh lebih tinggi daripada 3.1 peratus pada 2021.

Namun, prestasi ini juga disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada 2021 di samping kesan lantunan pasca pembukaan sempadan antarabangsa serta pembukaan ekonomi yang berterusan tanpa digugat oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kadar pengangguran juga dilihat menurun, bermula dengan kadar 4.1 peratus pada suku pertama 2022 dan diakhiri dengan 3.6 peratus pada suku keempat 2022 tetapi masih belum mencapai kadar prapandemik di antara 3.2 peratus hingga 3.3 peratus.

Inflasi keseluruhan menyederhana kepada 3.9 peratus selepas memuncak pada suku ketiga 2022, memberikan sedikit kelegaan kepada kenaikan harga tetapi inflasi teras (tidak termasuk makanan dan tenaga) terus meningkat kepada 4.2 peratus.

Peningkatan dalam permintaan masih berterusan dalam persekitaran kos yang tinggi. Walaupun inflasi dilihat menyederhana yang mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali kelima berturut-turut pada Januari lalu, masih terdapat risiko inflasi meningkat semula di mana inflasi teras yang pada suku keempat 2022 dilihat tidak berkurangan.